Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pihak termasuk parti politik seperti Pas mempertahankan kempen menggesa umat Islam mengutamakan produk keluaran bumiputra dianggap membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Malah, Ahli Parlimen DAP Gelugor, Ramkarpal Singh mendakwa tindakan Itu juga sebenarnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak seseorang dalam mencari nafkah kehidupannya.

Beliau turut membidas pemimpin Pas seperti Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyiddin Hassan yang merupakan seorang pengamal undang-undang tetapi tidak memahami kesan  tindakan tersebut.

“Sedar atau tidak Takiyuddin ini tentang keburukan serius bakal melanda kita kelak?

“Saya terkejut kerana beliau yang sepatutnya amat arif kempen seperti hanya akan membawa kesan buruk terhadap masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Sepatutnya beliau sebagai peguam lebih faham keburukan serius kempen seperti itu terhadap sosial malah boleh membawa kepada polarisasi serta memecahbelahkan kaum di negara ini.

“Tindakan ini juga bercanggah dengan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak seseorang untuk mencari rezeki kehidupan. Rakyat kita telah lama menikmati faedah daripada import dan eksport barangan ke negara-negara bukan Islam,” katanya dalam kenyataan.

Takiyuddin hari ini berkata, kajian menunjukkan kempen menyokong produk Muslim akan membawa kesan positif kepada limpahan ekonomi yang lebih luas.

Jelasnya, ia pasti akan banyak membantu usahawan industri kecil sederhana (IKS) dan usahawan luar bandar serta menjadikannya lebih berdaya saing.

“Di samping itu, ia akan memberikan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat terutama golongan belia yang kini ramai tiada pekerjaan.

“Ia juga membawa kepada kitaran ekonomi ummah (termasuk bukan Islam) yang lebih progresif umpamanya dalam hal zakat, sedekah, wakaf dan seumpamanya.

“Justeru, Pas menggesa pihak kerajaan turut membantu menjayakan langkah yang murni ini,” kata Takiyiddin.

Dalam pada itu, Ramkarpal yang juga pemimpin DAP itu lagi, Pas sepatutnya memberi peluang kepada usahawan Muslim bersaing sekaligus lebih banyak peluang pekerjaan selain persaingan sihat dalam peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Takiyuddin boleh mendakwa bahawa dia merujuk kepada industri tempatan tetapi ikut logik seolah-olah mengekang perniagaan berdasarkan kaum.

“Ini kerana ia akan menyebabkan kurangnya daya saing kerana mereka hanya memenuhi permintaan pasaran yang terhad,” tegasnya dalam kenyataan.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata tindakan memboikot terbabit tidak sepatutnya berlaku dan tidak akan memberi kesan sebaliknya hanya menimbulkan kemarahan. -MalaysiaGazette