Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersalaman dengan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar (kanan) pada Seminar Antarabangsa Sejarah dan Budaya Asia Tenggara Ke-6 di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Langkah memboikot produk keluaran bukan muslim oleh segelintir pihak disifatkan sebagai satu tindakan tidak sihat dan tidak wajar dibudayakan oleh masyarakat di negara ini.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan agar sikap itu dijauhi dan menyeru masyarakat menolak budaya itu.

“Kalau kita baca dalam konteks wacana yang saya anjurkan, kita boleh usulkan untuk mendukung mana-mana syarikat dengan alasan-alasan tetapi dengan membawa ini (memboikot) kepada satu pendekatan yang negatif tidak sihat sama sekali,” katanya yang juga Presiden PKR.

Bagaimanapun Anwar berkata, sekiranya mereka hendak mempromosi berkenaan produk halal, ia boleh dilakukan namun jika mahu menjadikan ia sebagai satu perkara untuk menolak agama ia adalah tidak wajar sama sekali.

“Sebagai seorang muslim saya fikir yang paling penting adalah untuk menghasilkan produk yang baik yang dikeluarkan oleh orang Islam dan diterima oleh semua,” ujarnya.

Mutakhir ini terdapat kempen dalam media sosial oleh segelintir pihak supaya memboikot barangan keluaran bukan muslim dan membeli produk keluaran muslim.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau tidak bersetuju dengan gerakan memboikot itu dan menyifatkan perkara itu hanya dilakukan oleh mereka yang berfikiran cetek. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. baru 1% yg join laungan MEMBELI PRODUK MUSLIM dah mengelupor.. Yg sentuh sentiment islam, melayu, raja2 TIDAK pulak dikomen oleh Menteri2 Islam Melayu ni…

    Hak pembeli di tangan pembeli skrg Ni.. termasuk Hak bersuara. Semua boleh bersuara Hanya pemikiran yg boleh menentukan yg benar Dan yg salah. Usah gusar… TERUSKAN MEMBELI PRODUK MUSLIM!!! MANTAPKAN LAGI EKONOMI ISLAM.. Duit Kita, bukan duit dia…..

Comments are closed.