Carrie Lam

HONG KONG – Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam akan mengumumkan penarikan secara rasmi sebuah rang undang-undang ekstradisi yang mencetuskan demonstrasi di bandar yang dikuasai oleh China.

Protes di bekas tanah jajahan British itu bermula pada bulan Jun lalu bagi membantah pesalah-pesalah di Hong Kong diekstradisi ke China.

Demonstrasi yang bertujuan menentang rang undang-undang berkenaan, merebak kepada tuntutan hak demokrasi yang lebih luas.

Ia tidak segera jelas jika pengumuman itu akan dibuat pada  hari ini  dalam usaha menamatkan kerusuhan.

Pejabat ketua eksekutif  masih belum memberi maklum balas ketika perkara itu ditanya oleh media tempatan.

Tetapi, Indeks Hang Seng Hong Kong melonjak selepas laporan itu dikeluarkan kira-kira 3.3%. Indeks hartanah juga melonjak 6 peratus.

Penarikan balik draf undang-undang merupakan salah satu tuntutan utama para penunjuk perasaan.

Sebelum ini, Lam berkata, rang undang-undang itu “mati” tetapi beliau tidak menarik baliknya.

Hong Kong kembali ke China di bawah “satu negara, dua sistem” formula yang membolehkan bandar raya itu menikmati kebebasan yang tidak berlaku di China – seperti kebebasan membantah dan sistem undang-undang bebas.

Reuters mendedahkan dalam satu laporan eksklusif pada hari Isnin bahawa Lam telah memberitahu pemimpin perniagaan minggu lepas bahawa dia telah menyebabkan “kekacauan yang tidak boleh diterima” dengan memperkenalkan rang undang-undang tersebut.

Jika beliau mempunyai pilihan, Lam akan memohon maaf dan meletakkan jawatan, menurut rakaman audio yang dibocorkan.

Pada mesyuarat tertutup itu, Lam berkata, beliau mempunyai “ruang sangat terhad” untuk menyelesaikan krisis itu kerana rusuhan tersebut sudah menjadi isu keselamatan dan kedaulatan negara bagi China, di tengah-tengah ketegangan dengan Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette