Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Eksport Malaysia pada Julai 2019 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.7% kepada RM88.0 bilion tahun ke tahun.

Prestasi ini disumbangkan oleh peningkatan produk barangan elektrik & elektronik (41.0% daripada jumlah eksport) sebanyak RM1.5 bilion (+4.5%) kepada RM36.0 bilion; gas asli cecair, yang mewakili 3.8% daripada jumlah eksport meningkat RM798.7 juta.

Keluaran petroleum bertapis turut menyumbang 6.4% kepada jumlah eksport, meningkat RM174.4 juta atau 3.2% kepada RM5.7 bilion dan getah asli mencakupi 0.5% daripada jumlah eksport, meningkat RM85.4 juta kepada RM420.2 juta berikutan peningkatan dalam kedua-dua volum eksport (+19.1%) dan nilai purata seunit (+5.4%).

Kayu dan hasil keluaran kayu, yang menyumbang 2.2% kepada jumlah eksport, meningkat RM23.7 juta atau 1.2% kepada RM1.9 bilion.

Manakala import juga mencatatkan penurunan sebanyak 5.9% tahun ke tahun kepada RM73.7 bilion.

Berasaskan bulan ke bulan, eksport meningkat 15.5% atau 11.8 bilion daripada RM76.1 bilion.

Dalam terma pelarasan musim, eksport juga meningkat 10.9%.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berasaskan bulan ke bulan, import meningkat 12.3% atau RM8.1 bilion daripada RM65.6 bilion.

Dalam terma pelarasan musim, import juga meningkat 7.9%.

Berasaskan tahun ke tahun, eksport meningkat disebabkan kenaikan eksport ke Taiwan (+RM1.2 bilion), Amerika Syarikat (+RM610.2 juta), China (+RM488.8 juta) dan Singapura (+RM372.9 juta).

Bagaimanapun, eksport menurun ke India (-RM534.0 juta), Australia (-RM417.9 juta) dan Jepun (-RM352.0 juta).

Berasaskan tahun ke tahun, import lebih rendah terutamanya dari Singapura (-RM1.8 bilion), Taiwan (-RM1.2 bilion), India (-RM822.9 juta), Kesatuan Eropah (-RM736.3 juta) dan Thailand ( -RM554.0 juta).

Sementara itu, import yang lebih tinggi adalah dari Korea (+RM731.0 juta), Iraq (+RM462.8 juta) dan Brunei (+RM426.0 juta).

Tambahnya, jumlah dagangan yang bernilai RM161.7 bilion merosot RM3.2 bilion atau 1.9% berbanding dengan Julai 2018.
Walau bagaimanapun, ia meningkat RM19.9 bilion atau 14.0% berbanding Jun 2019. Lebihan dagangan adalah RM14.3 bilion, melonjak RM6.1 bilion (+75.6%) berbanding tahun lalu.

Ia juga mencatatkan kenaikan sebanyak 35.8% atau RM3.8 bilion berbanding bulan sebelumnya. – MalaysiaGazette