Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menjelaskan laporan polis yang dibuat seorang lelaki yang mendawkwa dipukul adalah ke atas nama adiknya.

Beliau juga memaklumkan bahawa pengadu adalah lelaki yang cuba merogol dan mencabul kehormatan isterinya dua tahun lalu.

“Saya terpanggil untuk menjelaskan mengenai insiden yang berlaku pada 31 Ogos 2019 di Ampang.

“Laporan polis yang dibuat adalah ke atas nama adik saya namun saya sedia untuk memberi kerjasama sekiranya perlu.

“Saya ingin maklumkan yang pengadu cuba merogol dan mencabul kehormatan isteri saya dua tahun lalu dan beliau juga pernah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas cubaan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam polis meminta Pengerusi PKR Perak itu tampil membantu siasatan berhubung satu kes pergaduhan yang berlaku dekat sebuah kompleks sukan di Ampang, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, Farhash Wafa, 37, dipercayai merupakan seorang suspek yang terlibat dalam satu insiden mendatangkan kecederaan terhadap seorang individu lelaki tempatan.

“Dalam kejadian berlaku pada 31 Ogos pukul 9 malam itu, satu kejadian rusuhan bersenjata telah berlaku yang melibatkan seramai lebih 12 lelaki tempatan.

“Kejadian dipercayai bermula apabila suspek terserempak dengan mangsa dan menolak mukanya sehingga berlakunya satu kekecohan. Pihak pengurusan kompleks bagaimanapun meminta suspek dan mangsa supaya beredar,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette