Kebakaran besar yang berlaku di Sungai Lembing menyebabkan sepasang suami isteri maut.

PEKAN – Polis tidak menolak kemungkinan satu mayat yang ditemukan rentung dalam kebakaran besar di Sungai Lembing di sini Sabtu lepas, adalah milik pasangan suami isteri warga emas yang dilaporkan terperangkap.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata andaian itu dibuat berdasarkan tiada mayat kedua dijumpai, walaupun operasi mencari telah dijalankan dengan teliti termasuk menggunakan unit anjing pengesan.

Sehubungan itu, andaian awal ialah berkemungkinan mayat yang sebelum ini dipercayai wanita berdasarkan barangan kemas yang dipakainya, adalah suami isteri itu yang berada dalam keadaan berpelukan.

“Ini dibuat kerana adalah biasa untuk mangsa duduk berdekatan atau berpelukan kerana takut semasa berada dalam situasi cemas atau panik.

“Bagaimanapun, untuk kes ini, kita akan menunggu sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan adakah mayat ini milik seorang individu atau berdua,” katanya.

Abd Jalil berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pekan antara pemangkunya DSP Mohd Zaidi Mat Zin dan Supt Mohd Razli Mohd Yusof di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini, hari ini.

Mohd Zaidi memangku tugas itu bermula 24 Julai lalu selepas ketuanya Supt Amran Sidek memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kenaikan pangkat sebagai ACP.

Mohd Razli yang telah berkhidmat selama 38 tahun sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard di IPK Pahang.

Pada kebakaran 1.30 pagi 31 Ogos lalu, pasangan suami isteri Ho Yuk Fun, 74, dan Chow Kim Mui, 70, disyaki maut akibat terperangkap dalam kebakaran yang secara keseluruhannya memusnahkan 32 premis bangunan diperbuat daripada kayu.

Bagaimanapun, bomba hanya menemukan satu mayat pada 6 pagi hari yang sama, di hadapan sebuah unit rumah di situ, sebelum operasi mencari satu lagi mayat dihentikan sementara pada 3.15 petang 1 Sept ekoran tiada petunjuk baharu.

— BERNAMA