Seorang penumpang lelaki meluangkan masa terluang dengan membaca ayat suci Al-Quran semasa menunggu untuk menaiki bas untuk pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Pendakwah selebriti, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai PU Amin berkongsi rahsia Surah al-Fatihah yang juga dikenali sebagai ummul kitab dalam mencapai hajat dan impian.

Menurutnya, jika mempunyai hajat besar maka disaran untuk membaca surah al-Fatihah sebanyak 41 kali selepas solat Maghrib.

Beliau yang memetik kata-kata Syeikh Mahyuddin Al-Arabi berkongsi agar umat Islam diminta tidak bergerak dari tempat duduk sehingga selesai membaca Surah al-Fatihah sebanyak 41 kali dan kemudian memohon hajat.

“Kita semua ada hajat dan impian yang belum tertunai, adakalanya buntu dan putus asa untuk meminta daripada Allah SWT.

“Janganlah begitu, banyak perkara yang diajar oleh para ulama. Cuba. Insya-Allah pasti menemui jawapan. Allah maha mendengar. Allah suka hambanya yang suka meminta doa kepadanya,” katanya di Instagram miliknya.

Surah Al-Fatihah mengandungi tujuh ayat itu merupakan antara ayat yang mudah dihafal walaupun oleh kanak-kanak, malah merupakan satu daripada 13 rukun solat. – MalaysiaGazette