Zaharuddin Muhammad
Zaharuddin Muhammad

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairudin Othman perlu menunaikan janji bagi mendapatkan Rumah Selangorku buat penduduk di kawasannya yang terlibat dengan perobohan tempat kediaman bagi memberi laluan pelaksanaan projek pelebaran sungai.

Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad berkata, Rumah Selangorku telah dijanjikan berkali-kali sebelum ini termasuk sewaktu kempen pada Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lalu.

Katanya, penduduk yang tinggal di tanah rizab Sungai Kedondong Paya Jaras Hilir perlu dibantu kerana mereka tidak mempunyai tempat tinggal lain selepas kediaman mereka mula diroboh 16 September depan.

“Tarikh perobohan yang dijadualkan pada 5 September adalah tidak sesuai memandangkan waktu hampir UPSR, seterusnya ialah PT3 dan SPM.

“Sekalipun mendapat jawapan lisan bahawa penangguhan sehingga 16 September, selepas pertemuan dengan pihak menteri besar, namun, tempoh penangguhan ini bukanlah penyelesaian bagi penduduk yang telah menetap disini sekian lama dan ia belum cukup untuk memenuhi keperluan dan kehendak penduduk,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru beliau berkata, Pas Kawasan Sungai Buloh mengharapkan pihak kerajaan supaya mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan berpihak kepada penduduk serta menjaga kepentingan awam.

Katanya, Pas kawasan Sungai Buloh akan bersama-sama penduduk untuk mempertahankan rumah mereka daripada dirobohkan dan jadual perobohan itu sepatutnya dijangka hari ini.

“Pas Kawasan Sungai Buloh juga menggesa Kerajaan PH lebih bersifat prihatin terhadap semua pihak,” tegasnya. – MalaysiaGazette