KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bersedia untuk menjadi pemudahcara kepada semua pihak berkepentingan dalam memberi penjelasan dan menawarkan pendekatan muamalah Islam berhubung sokongan membeli barangan keluaran Muslim dan bumiputera.

Ia selari dengan teras utamanya uk menggiatkan keutamaan industri halal dan patuh syariah dalam memacu perubahan ekonomi Malaysia secara komprehensif.

Setiausaha Agung DPIM, Abdul Mohsein Mohd Shariff berkata, kempen yang tular pada ketika ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat Malaysia merupakan satu bentuk kempen yang dilihat melambangkan solidariti dan pendirian sesetengah pihak berkepentingan tentang sesuatu isu yang dibangkitkan.

Namun demikian, sekiranya kempen ini berlarutan dan diperbesarkan dengan unsur emosi, ianya akan cenderung disalah tafsir dan membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menangguk di air keruh dengan menimbulkan sentimen agama, politik dan ras perkauman.

Ini akan menjadikan kempen tersebut tidak sihat serta membawa implikasi negatif terhadap segala usaha memakmurkan ekonomi rakyat secara inklusif tanpa mengira fahaman agama dan latar belakang kaum. – MalaysiaGazette