KUALA LUMPUR – Syarikat Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) mengumumkan proses penilaian tawaran dan pakej pengstrukturan semula hak penyiaran Liga Malaysia musim depan lengkap dalam tempoh 60 hari seperti yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid berkata, sejak pelantikan EVC sebagai rakan kongsi MFL Julai lalu, kedua-dua pihak menunjukkan komitmen tinggi terhadap tugas diberikan.

Beliau berkata, kedua-dua pihak juga melaksanakan pelbagai inisiatif secara proaktif dalam usaha memenuhi tarikh akhir yang diberikan.

“Bagaimanapun, pengumuman berhubung tawaran dan pakej penyiaran Liga Malaysia berkenaan hanya akan didedahkan kepada umum selepas kertas kerja itu dibentangkan terlebih dahulu kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Ia mengambil sedikit masa memandangkan beberapa Ahli Lembaga Pengarah MFL kini berada di Jakarta untuk memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya dalam aksi pusingan dua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nizamuddin berkata, MFL dan ECV akan mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan tawaran serta pakej pengstrukturan semula hak penyiaran Liga Malaysia sejurus kertas kerja terbabit dibentangkan.

Tambah beliau, MFL dan EVC harus mengambil pertimbangan dan saranan daripada semua pemegang taruh iaitu pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.

“Apa yang pasti, projek mega ini turut membabitkan syarikat korporat dan pertubuhan di dalam serta luar negara, malahan EVC sudah memulakan komunikasi dengan pelbagai pihak termasuk firma modal teroka,” ujarnya.

Penstrukturan semula itu menyaksikan hak penyiaran Liga Malaysia secara terus kepada pengguna khususnya penyokong bola sepak tempatan.

Ia juga membolehkan penyokong memainkan peranan membantu pasukan apabila bayaran langganan siaran langsung perlawanan disalurkan terus kepada setiap pasukan, katanya. – MalaysiaGazette