Datuk Seri Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador

GERIK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan penuh terhadap insiden kematian melibatkan seorang komando semasa melakukan tugasan rasmi di Kem Lok Kawi, Sabah, semalam.

Menyifatkan insiden itu sebagai malang tidak berbau, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata siasatan dijalankan mengikut prosedur bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Saya yakin ada prosedur operasi standard (SOP) dan kemungkinan bukannya terlepas pandang. Ia (pertunjukan) telah diatur seeloknya namun ia (kemalangan) tetap berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Perak 2019 di sini, hari ini.

Seramai 300 pesara dan 200 pegawai berkhidmat dalam PDRM menerima pingat masing-masing bagi menghargai jasa serta pengorbanan mereka kepada negara. Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia.

Abdul Hamid berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga Allahyarham tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa fakta dan pada masa sama meminta orang ramai agar tidak melontarkan komen-komen berunsur penghinaan sehingga melanggar undang-undang.

“Pesuruhjaya Polis Sabah akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat (mengenai perkembangan kes),” katanya sambil menambah pasukan khas PDRM sentiasa memantau media sosial dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang menyalahgunakan hak kebebasan bersuara.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata polis akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan insiden gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, bulan lepas.

Selain itu, beliau berkata PDRM sedang mendapatkan khidmat pakar bagi menentukan hala tuju siasatan dan mengenal pasti sama ada terdapat pihak mensabotaj kejadian itu seperti didakwa atau berpunca daripada masalah di luar kawalan manusia.

“Proses ini mengambil masa disebabkan banyak isu teknikal yang pihak kami tiada kepakaran dan siasatan masih berjalan,” katanya.

Polis setakat ini telah mengambil keterangan 12 individu terdiri daripada kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung gangguan berkenaan yang mula dikesan pada 21 Ogos.

Gangguan selama tiga hari itu menyebabkan kegagalan fungsi beberapa sistem seperti sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk, sistem pengendalian bagasi dan sambungan WiFi.

Susulan itu, MAHB membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

— BERNAMA

Artikel berkaitan

Anak AR Badul meninggal dunia terkena tembakan