Anak Allahyarham Mejar Zahir Armaya, Remy Iskandar Zahir Armaya tidak dapat menahan kesedihan melihat keranda jenazah bapanya di Masjid Al Fatih, Kem Wardieburn, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Dalam suasana keheningan dinihari, jenazah Allahayarham Mejar Mohd Zahir Armaya disembahyangkan di Masjid Muhamad Al-Fatih Kem Wardiebun  di sini sebelum dibawa ke tanah Perkuburan Tambun, Perak.

Turut menyertai solat jenazah, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Ahmad Nawawi; dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya diusung oleh pegawai Grup Gerak Khas untuk disembahyangkan di Masjid Al Fatih, Kem Wardieburn, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2019

Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kol (B) Nazim Mohd Alim dan ayah Allahyarham, A R Badul serta anggota keluarga yang lain juga menyertai solat jenazah bersama kira-kira 1,000 jemaah yang lain.

Solat jenazah pegawai komando 11 Gerup Gerak Khas (11 GGK) itu selesai kira-kira pukul 2.43  pagi dan terus dibawa ke Tambun, untuk dikebumikan.

Sebahagian pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia menunaikan solat sunat jenazah Allahyarham Mejar Zahir Armaya di Masjid Al Fatih, Kem Wardieburn, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2019

Suasana hiba menyelubungi perkarangan masjid dengan kehadiran isteri Allahyarham Nour Shafinar Harun bersama tiga anaknya, pelakon AR Badul yang merupakan bapa Allahyarham serta kaum keluarga dan sahabat handai.

Mohd Zahir menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada pukul 9.20 pagi Rabu selepas cedera parah terkena tembakan semasa menyertai demonstrasi gimik pelancaran divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 di Padang Kawad 6 RAD, Kem Lok Kawi. – MalaysiaGazette