Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Majlis Pelancaran Halal Fiesta Malaysia (Halfest 2019) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 06 SEPTEMBER 2019.

SERDANG – Malaysia mahu menjadi hab halal sedunia dan hasrat itu bukan sekadar menjadi impian semata-mata, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Namun Timbalan Perdana Menteri mengakui sukar bagi syarikat-syarikat halal Malaysia menawan dunia jika mereka tidak dapat menembusi pasaran halal negara ini dengan berkesan.

Menurutnya, usahawan-usahawan yang terlibat harus membina strategi pemasaran dan jualan yang jitu bagi membolehkan barangan mereka mencapai kedudukan yang baik di pasaran negara dan seterusnya untuk dieskport.

“Usahawan-usahawan perlu menguasai ilmu pengurusan perniagaan yang relevan, termasuk perniagaan antarabangsa dan seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 seperti internet of things, big data, artificial intelligence dan blockchain.

“Pada masa sama, usahawan-usahawan barangan halal perlu memastikan agar produk-produk mereka mempunyai kualiti tinggi sebagaimana yang diharapkan oleh pembeli dan dijual pada harga yang kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Halal Fiesta Malaysia (Halfest 2019) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Pameran Mines (Miecc), Seri Kembangan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Mengulas lanjut, Wan Azizah menasihati golongan usahawan agar memastikan pelanggan-pelanggan mereka berpuas hati dengan barangan mereka.

Jelas beliau, istilah ‘customer satisfaction’ sudah tidak lagi relavan pada zaman ini kerana syarikat-syarikat yang berjaya sudah mengorak ke arah ‘delighting customers’ iaitu memberi pelanggan lebih daripada apa yang dijangka.

“Sesungguhnya memberi kepuasan kepada pelanggan adalah satu strategi pemasaran yang amat berkesan.

“Ini kerana tanpa kos dan tanpa disedari, pelanggan-pelanggan yang berpuas hati ini biasanya secara tidak langsung akan menjadi duta barangan,” katanya. – MalaysiaGazette