Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim bersama Sesi pengenalan pemain bersama Presiden PSM Datuk majlis pelancaran Liga Sepak Takraw (STL) 2019 di sini, hari ini. Ahmad Ismail

KUALA LUMPUR – Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) masih menunggu balasan surat tunjuk sebab daripada dua bekas tekong emas yang digugurkan dari skuad negara pada Jun lepas.

Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail berkata kedua-dua mereka – Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak, mempunyai tempoh 14 hari lagi untuk memberi jawapan terhadap surat berkenaan.

“Mereka belum jawab. (Bagaimanapun) mereka masih mempunyai tempoh 14 hari, jadi kita tunggu sahaja. Untuk pengetahuan, Shahir sendiri telah bercakap dengan saya dan ya, perkembangan sangat positif.

“Kita adalah profesional, kita ambil tindakan mengikut prosedur dan apa yang perlu,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Liga Sepak Takraw (STL) 2019 di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Syahir dan Muhammad Zulkifli masing-masing telah menerima surat tunjuk sebab daripada PSM.

Berdasarkan laporan media, Mohd Syahir dikatakan telah menerima surat 48 muka surat manakala Muhammad Zulkifli pula 37 muka surat, yang bertarikh 24 Ogos lalu, dan kedua-dua mereka mengesahkan telah menerima surat itu.

Kedua-dua mereka dipercayai telah digugurkan oleh PSM dari skuad negara penghujung Jun lalu atas alasan disiplin serta digantung sementara.

Mereka sebaliknya menafikan perkara itu dan mendakwa ia berpunca daripada sistem elaun yang dikendalikan badan induk sepak takraw negara itu.

Sementara itu, STL 2019 yang memasuki edisi keenam tahun ini menampilkan kelainan apabila lapan pemain import dari Thailand akan menyertai persaingan berbanding hanya dua pemain import pada edisi lalu.

Berbanding tahun lalu yang hanya dibuat di sekitar Lembah Klang, edisi STL kali ini akan mengembangkan jelajahnya bermula di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Johor Bahru.

Turut hadir untuk pelancaran majlis adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong.- BERNAMA