Gambar Instagram menunjukkan Mugabe ketika menerima rawatan di Singapura sejak April lalu dilihat bersama anak-anaknya sebelum diumumkan meninggal dunia hari ini.

SINGAPURA – Bekas Presiden Zimbabwe Robert Mugabe meninggal dunia pada usia 95 tahun.

Keluarganya telah mengesahkan kematiannya kepada media ketika dihubungi BBC News pagi ini.

Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa turut mengesahkan dia menghembuskan nafas akhir di sisi isterinya Grace.

Mugabe telah menjalani rawatan di hospital Singapura sejak April lalu.

Keadaannya dikatakan bertambah teruk sehingga tidak dapat berjalan selain meminta ahli keluarganya supaya mengkebumikan beliau di sebelah kubur ibunya, Bona, di ladang milik keluarganya di Harare.

Bagaimanapun bekas pemimpin itu telah digulingkan menerusi rampasan kuasa tentera pada 2017 selepas 37 tahun berkuasa.

Mugabe berkerusi Roda semasa rawatan sejak April lalu di Singapura bersama anaknya Robert Junior di sebuah hospital di nagara republik itu.Foto:Instagram Robert Junior.

Pada tahun-tahun awal pentadbirannya, Mugabe disanjung tinggi rakyat kerana memperluaskan akses kesihatan dan pendidikan untuk majoriti etnik berkulit hitam.

Bagaimanapun beliau kemudian dicop sebagai pemimpin kejam yang didakwa membawa negara kepada krisis ekonomi dan amalan rasuah yang teruk selain mengamalkan pembunuhan dan memberi tekanan ke atas pembangkang sehingga dihina masyarakat antarabangsa.

Beliau memenangi pilihan raya umum pertama Zimbabwe selepas mencapai kemerdekaan dari British dan menjadi perdana menteri pertama pada tahun 1980 secara pemilihan demokrasi.

Mugabe kemudian menjadi Presiden negara itu pada tahun 1987 sebelum diturunkan oleh rejim tentera. – MalaysiaGazette