Wanita warga AS ditahan di Lapangan terbang antarabangsa Manila atas dakwaan cuba menyeludup keluar bayi berusia enam hari dari Filipina dua hari lepas.Foto Kredit: Imigresen Filipina

MANILA – Seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS) telah didakwa atas kesalahan cuba menyeludup manusia di Filipina.

Suspek Jennifer Talbot, 43, ditahan ketika cuba menyeludup keluar bayi yang baru dilahirkan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Aquino Ninoy di Manila Rabu lalu.

Hasil pemeriksaan rapi polisĀ  berjaya menemui bayi berusia enam hari dalam beg tangan suspek tersebut.

Wanita itu dikatakan sedang cuba untuk menaiki penerbangan ke AS.

Kemunculan suspek bersama bayi itu dikesan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter imbasan bagasi Imigresen.

Suspek kelihatan menyembunyikan bayi dalam beg tangan berwarna hitam sebelum mengeluarkannya ketika melalui laluan kaunter imbasan sebelum dikesan pegawai Imigresen.

Bagaimanapun dia ditahan ketika di kaunter pas pelepasan dan disoal siasat sebelum gagal menyakinkan makumat mengenai bayi yang didukungnya dengan dokumen lengkap.

Pihak berkuasa mendapati wanita itu gagal mengisytiharkan maklumat mengenai bayi itu kepada imigresen.

Biro Penyiasatan Kebangsaan (NBI) Filipina mendakwa Talbot berniat menyembunyikan serta menyelinap keluar bayi itu.

Ibu bapa bayi itu didakwa di bawah Undang-Undang Perlindungan Kanak-kanak Filipina dan bayi yang diselamatkan telah diletakkan dibawah jagaan pusat kebajikan.

Suspek mengenakan pakaian baju berwarna oren dengan tangan bergari dihadapkan pada sidang media semalam sebelum pertuduhan terhadapnya dibaca di mahkamah.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup di Filipina, kata Ketua NBI Bahagian Lapangan Terbang kepada pemberita hari ini.

Kedutaan AS di Filipina telah dimaklumkan mengenai tangkapan Talbot.

Berikutan tangkapan itu, NBI mendakwa Talbot mengemukakan dokumen yang mendakwa dia dibenarkan untuk membawa bayi itu ke AS.

Bagaimanapun dokumen itu tidak mempunyai tandatangan ibu bapa bayi berkenaan.- MalaysiaGazette