KUALA LUMPUR – Laporan insiden rusuhan penyokong Indonesia semasa perlawanan antara Malaysia dan negara itu oleh Pegawai Komisioner Perlawanan Pegawai Keselamatan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah dserahkan kepada badan bole sepak dunia itu bagi dinilai dan diambil tindakan.

Perkara tersebut disahkan oleh tiga pegawai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) iaitu Ketua Keselamatan dan Sekuriti Stadium, Brian Johnson; Pengurus Keselamatan dan Sekuriti Stadium; Shahin Rahmani dan Pengurus Acara Bola Sepak Unit Pertandingan dan Bahagian Acara Bola Sepak, Deng Xiaolong.

Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pihaknya mengambil langkah pertama dengan mengadakan pertemuan dengan AFC berhubung insiden di Indonesia bagi mengesahkan hasrat membuat laporan kepada FIFA.

“Stuart (Ramalingam – Setiausaha Agung FAM) juga bertemu dengan Setiausaha Agung AFC, Dato’ Windsor Paul dalam pertemuan berasingan semalam untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap insiden yang berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Pada perlawanan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dalam Kumpulan G yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno itu Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan dramatik 3-2 di hadapan lebih 50,000 penyokong Indonesia.

Namun, perlawanan itu tercemar dengan insiden rusuhan penyokong Indonesia yang menceroboh masuk kawasan stadium dan menyerang kawasan tempat duduk penyokong Malaysia selain membaling botol dan pelbagai objek termasuk suar dari tingkat atas kawasan penyokong negara.

Insiden terbabit memaksa pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyungjin menghentikan perlawanan yang pada ketika itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 hampir 10 minit.

Tambah kenyataan itu, FAM turut mendapatkan nasihat daripada AFC untuk membantu menyediakan pelan keselamatan yang komprehensif menjelang pertemuan kedua pada 19 November ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam usaha mengelakkan insiden pada 5 September berulang. – MalaysiaGazette