Hazwan Mohamad
Hazwan Mohamad

KUALA LUMPUR – Parti Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) tampil dengan wajah baharu apabila beberapa usul pindaan parti itu diluluskan menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa yang berlangsung semalam.

Ketua Penerangannya, Hazwan Mohamad berkata, beberapa fasal dalam Perlembagaan parti berusia lebih empat dekad itu dipinda bagi memastikan proses peremajaannya berjalan dengan segera demi menarik minat masyarakat Melayu Islam terutamanya generasi muda yang semakin lelah dengan suasana politik hari ini untuk menyertai parti itu.

Katanya, Berjasa bertekad untuk menjadi parti politik pilihan utama rakyat Malaysia dengan menampilkan barisan kepimpinan yang segar, profesional, berintegriti dan kompeten.

“Sudah tiba masanya, untuk generasi Malaysia berani beralih untuk memilih sebuah parti politik yang baharu, jujur dan berprinsip demi mempertahankan serta memperkasa identiti sebenar negara Malaysia yang kita semua cintai.

“Salah satu pindaan Perlembagaan yang diluluskan hari ini adalah penjenamaan semula bendera dan logo parti yang akan tampil lebih unggul, menarik dan terkehadapan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bendera dan logo baharu parti yang telah diluluskan bakal dilancarkan dalam satu majlis penjenamaan semula Berjasa akan datang.

“Semoga Allah memberkati perjuangan Parti Berjasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette