Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menanti arahan lanjut daripada Perdana Menteri berkaitan terbitan kedua bon Samurai .

Kenyataan itu dibuat kementerian tersebut susulan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memaklumkan sudah menerima persetujuan daripada Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe untuk terbitan bon berkenaan.

Dr Mahathir berkata, kini terpulang kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk meneruskan rundingan tersebut.

Sebelum ini, Menteri Kewangan telah menerima arahan Perdana Menteri pada bulan Jun 2019 untuk mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan, setelah lawatan beliau ke Jepun pada akhir bulan Mei 2019, yang mana Abe telah
menawarkan bon Samurai siri kedua.

Mesyuarat Jemaah Menteri juga memutuskan untuk bersetuju secara prinsip, dengan butiran lanjut untuk diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

Setelah rundingan Menteri Kewangan dengan pihak Kerajaan Jepun, khususnya Japan Bank for International Cooperation (JBIC) yang akan menjaminkan terbitan bon samurai tersebut.

JBIC telah bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman kepada 0.5 peratus dengan tempoh matang 10 tahun berbanding dengan 0.63 peratus dengan tempoh matang 10 tahun, bagi pinjaman bon Samurai yang pertama sebanyak 200 bilion yen pada bulan Mac tahun ini.

Kementerian Kewangan berkata, sungguhpun kadar bon Samurai siri kedua yang ditawarkan kali ini adalah lebih
rendah, Perdana Menteri mengambil kira juga pandangan pelbagai pihak. – MalaysiaGazette