Jadual penerbangan di Tokyo dibatalkan susulan Taufan Faxai yang dijadual melanda Jepun minggu ini. foto Agensi

TOKYO – Jepun dijangka dilanda Taufan Faxai pada hari Ahad hingga operasi kereta api dan penerbangan di Tokyo terpaksa dibatalkan.

Taufan itu akan membawa angin kencang selaju sehingga 216 kilometer sejam (134 mph) dan hujan lebat dijangka melanda wilayah itu semalaman, menurut Agensi Meteorologi Jepun.

Faxai, nama wanita di Lao, akan membawa sebanyak 300 milimeter hujan dalam tempoh 24 jam akan datang, kata agensi itu.

“Angin dan hujan boleh melanda secara tiba-tiba, menyebabkan angin ribut teruk di laut dan risiko rekod kelajuan angin di ibu negara dan kawasan lain,” kata agensi itu di laman webnya.

Angin kuat dikhuatiri menjejaskan bekalan elektrik dan hujan lebat dibimbangi mengakibatkan banjir dan tanah runtuh.

Syarikat keretapi berkata, ia terpaksa membatalkan atau menggantung operasi perkhidmatan kereta api laju antara Tokyo dan Osaka, selain memberi amaran kemungkinan penangguhan dan perubahan destinasi disebabkan taufan itu.

ANA Holdings pula telah membatalkan semua penerbangan ke Hachijojima, kepulauan kecil kira-kira 300 kilometer di selatan Tokyo.

Beberapa penerbangan keluar masuk Tokyo mungkin ditangguh atau dibatalkan pada hari Ahad dan Isnin. – MalaysiaGazette