Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh bercakap pada sidang media khas berikutan isu-isu tular media sosial mengenai dakwaan pemberian MyKad kepada warga asing di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menjelaskan wanita China yang didakwa memiliki Mykad baru-baru ini adalah isteri kepada seorang warga Malaysia dan sudah menetap di negara ini selama 20 tahun.

Wanita itu adalah pemegang status penduduk tetap sebelum memperoleh kewarganegaraan pada tahun 2017.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh berkata, wanita itu telah memohon kewarganegaraan berdasarkan Perkara 15 (1) Perlembagaan Persekutuan dan berdasarkan kelayakannya, beliau telah diberikan kewarganegaraan.

Katanya, isu tersebut yang ditularkan di beberapa medium media sosial baru-baru ini sebenarnya telah dibuat sejak tahun 2018
lagi.

Lantaran itu, JPN telah membuat laporan polis terhadap beberapa pemilik laman media sosial Facebook, Twitter dan WhatsApp yang menuduh jabatan itu sewenang-wenangnya memberi MyKad kepada warga asing.

Laporan polis itu dibuat oleh Bahagian Komunikasi Korporat JPN di Ibu Pejabat Polis Putrajaya, pagi tadi.

Menurutnya, laporan tersebut turut membabitkan isu pemberian Mykad kepada lima individu warga China yang juga tular di media sosial.

Ruslin berkata, laporan itu terpaksa dibuat bagi mendesak polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan tersebut yang tular di media sosial, sedangkan perkara tersebut tidak benar.

Ruslin JusohJelasnya, JPN telah mengeluarkan kenyataan terhadap isu berbangkit itu khususnya melibatkan MyKad yang dimiliki lima individu warga china.

“Saya ingin jelaskan di sini sebenarnya isu itu ditularkan sejak 2015 lagi, yang mana lima warga China didakwa diberikan MyKad ini sebenarnya salah satu daripada sindiket pemalsuan kad pengenalan yang berlaku di Sabah.

“Ia tidak ada kaitan dengan JPN dan kes telah pun diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2015.

“Tetapi isu ini masih dimainkan oleh pemilik-pemilik akaun di media sosial,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

JPN juga berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menyiasat pemilik akaun media sosial yang aktif menyebarkan berita palsu sebegini.

“Berita-berita palsu ini telah mendatangkan kebimbangan kepada masyarakat sehingga membawa tanggapan bahawa JPN sekarang ini mula mengeluarkan dokumen kepada warga asing. Sebenarnya itu tak berlaku sama sekali,” ujarnya.

“Sehubungan itu, beliau mengharapkan supaya pemilik-pemilik akaun media sosial menghentikan segala tohmahan dan tuduhan terhadap JPN.

“Untuk rekod kita tidak memilih mana-mana asal usul keturunan untuk memberikan status kewarganegaraan kepada seseorang, sebaliknya kita berpandukan kepada peraturan yang ditetapkan di bawah Perlembagaan dan Akta Pendaftaran Negara 19.

“Maka tidak timbul isu JPN begitu mudah menawarkan kewarganegaraan kepada warga asing,” tegasnya.- MalaysiaGazette