Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat menjadikan Malaysia sebuah negara bebas daripada pelbagai penyelewengan.

Perdana Menteri berkata, dengan itu Malaysia Baharu dapat dibangun dan dimajukan dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

“Kerajaan Tuanku menyedari ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia yang semakin mencabar termasuk dalam bentuk halangan-halangan kepada perdagangan bebas serta ketidakstabilan dalam mata wang global boleh memberi kesan kepada negara.

“Bagi mengatasi keadaan ini, kerajaan akan sentiasa melakukan pelbagai strategi di peringkat domestik dan antarabangsa untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut,” kata beliau dalam ucapan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Seiring itu, Dr Mahathir berkata, PH kini giat menjalankan usaha-usaha untuk memulihkan kedudukan kewangan dan ekonomi
negara serta melunaskan janji-janji yang telah diberikan kepada rakyat.

“Pelbagai inisiatif di bawah visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah pun mula dilaksanakan bagi memastikan kekayaan negara dapat diagihkan dengan menyeluruh dan merancakkan
pertumbuhan ekonomi seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat.

“Kerjasama dan sokongan rakyat serta penglibatan semua pihak sangat diperlukan untuk memastikan negara terus makmur dan sejahtera serta dihormati di persada antarabangsa, impak positif inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan akan dapat dirasai rakyat,” ucap Dr Mahathir lagi.

Pada Oktober tahun lalu, Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kerajaan PH masih bebas gejala rasuah.

Indikasi itu dibuat setelah mengambil kira laporan antaranya melalui liputan media terhadap gejala itu terutama mengaitkan jenayah berkenaan dengan ahli kerajaan baharu.

Sebagaimana manifesto PH terdahulu, Dr Mahathir turut berkata, kerajaan juga bertekad untuk mengukuhkan pentadbiran berdasarkan kepada prinsip rule of law dan pemisahan kuasa seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam hal ini, Kerajaan Tuanku komited untuk memulihkan negara agar bebas daripada rasuah dan salah guna
kuasa.

“Kekayaan negara akan diurus dan digembleng dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana agar dapat dikecapi oleh segenap lapisan rakyat,” jelas Dr Mahathir lagi. -MalaysiaGazette