Pemandangan sekitar Putrajaya yang terjejas akibat jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 104 API yang dipaparkan di laman sesawang apims.doe.gov.my sekitar jam 4 petang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Bacaan kualiti udara tidak sihat di kebanyakan tempat di Semenanjung meningkat pada hari ini.

Setakat jam 11 pagi tadi, Rompin, Pahang merekodkan bacaan tertinggi iaitu 194, selepas mencatatkan 197 pada jam 7 dan 8 pagi tadi.

Di Selangor, kawasan-kawasan udara tidak sihat adalah di Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Johan Setia dan Banting.

Johan Setia Klang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 160 pada jam 11 pagi tadi, Petaling Jaya (140), Shah Alam (130), Banting (123) dan Klang (118).

Bacaan di Johan Setia Klang konsisten sejak jam 9 pagi tadi, meningkat berbanding sekitar 150 pada 5 pagi tadi.

Di Kuala Lumpur, kawasan Batu Muda, Cheras dan Putrajaya juga merekodkan bacaan IPU tidak sihat, masing-masing 157, 150 dan 139.

Di Negeri Sembilan, Nilai dan Seremban juga menyaksikan peningkatan kualiti udara tidak sihat sejak semalam berlarutan jam 11 pagi tadi.

Setakat tempoh itu, Nilai merekodkan IPU 145 berbanding 131 jam 7 pagi tadi.

Seremban juga mencatatkan kenaikan paras udara tidak sihat dari 110 jam 7 pagi kepada 118 pada 11 pagi.

Port Dickson turut merekodkan bacaan tidak sihat buat pertama kali pada pukul 11 pagi.

Di Melaka, kawasan yang mencatatkan bacaan udara tidak sihat adalah di Bukit Rambai (104) manakala di Tangkak 111.

Di Sarawak keadaan bertambah baik berbanding bacaan kualiti udara sangat tidak sihat semalam.

Bacaan kualiti udara di Sri Aman (192), Samarahan (121) dan Kuching (144).

Keadaan udara terjejas disebabkan kebakaran di ladang-ladang sekitar Kalimantan dan Sumatera sejak bulan lalu.

Situasi semakin buruk apabila taburan hujan semakin berkurangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast