KUALA LUMPUR – Sime Darby Berhad (Sime Darby) telah membeli aset-aset perniagaan dan hartanah tiga pengedar kereta mewah di Sydney Australia pada harga A$112 juta (RM321 juta) bagi meluaskan segmen peruncitan automotif mewah di negara tersebut.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sime Darby berkata, pengedarannya membabitkan BMW, MINI, Volkswagen, Jaguar dan Land Rover.

Dengan pembelian itu, Sime Darby Motors akan meningkatkan kehadiran dan pembabitannya jenama di Parramatta, yang merupakan salah satu lokasi runcit automotif paling terkenal di Sydney, katanya.

Perjanjian pembelian telah dimeterai oleh Sime Darby Motors Sdn Bhd dan Trivett, unit peruncitan automotif Inchscape Australia Ltd.

Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada awal Disember 2019. – MalaysiaGazette