Pemain pasukan UAE, Ali Hassan Alblooshi (tengah) cuba melepasi beberapa pemain pasukan Malaysia pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia AFC 2023 antara pasukan Malaysia menentang pasukan UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Skuad Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan rasa bertuah beraksi menentang Harimau Malaya di sebuah stadium nasional yang gah.

Bagaimanapun ketua jurulatihnya, Lambertus Marwijk mendakwa walaupun stadium mempersonakan namun kualiti padangnya hancur dan menjejaskan prestasi pemain skuad the Whites sehingga terpaksa membolos gol pada minit pertama selepas perlawanan bermula malam tadi.

“Kami bangga kerana beraksi di stadium Malaysia yang sangat mempersonakan dan antara terbaik di dunia namun sedih dengan padang stadium ‘anda’ yang hancur sehingga memaksa kami memulakan dengan teruk dan membolos gol.

“Kami sudah ‘tidur’ di awal perlawanan separuh masa pertama dan ada kelemahan pada sayap pertahanan kiri dan memang sukar untuk diperbetulkan dengan segera apabila beraksi dengan penampilan tujuh pemain baharu skuad kami.

“Namun kami berjaya menutup kelemahan bangkit menyamakan kedudukan dua minit sebelum separuh masa pertama tamat dan kami mula balik kepada rentak tinggi kami di separuh masa kedua dan merekodkan kemenangan penting ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam ini.

Skuad the Emirates itu boleh dikatakan bernasib baik kerana berjaya mengubah desifit 0-1 pada minit awal kepada kemenangan 2-1 selepas mengakui kepenatan Harimau Malaya diambil kesempatan oleh anak muridnya.

Katanya, skuad Harimau Malaya mempamerkan semangat juang tinggi sehingga menguji aksi anak muridnya dengan permainan high pressing.

Namun katanya, pemain Harimau Malaya dilihat kepenatan pada separuh masa kedua telah digunakan sebaik-baiknya oleh anak muda pasukan untuk menjaringkan gol penting pada minit ke-74.

“Bagaimanapun saya dapat melihat jurulatih Malaysia (Tan Cheng Hoe) membuat tiga pertukaran untuk memastikan skuadnya sentiasa bertenaga dan berstamina tinggi untuk meneruskan taktik serangan laju di gawang kami.

“Pada 15 minit terakhir mereka melakukan beberapa serangan berbahaya sehingga nyaris menyamakan kedudukan dan menewaskan kami.

“Namun kebijaksanaan dan aksi cemerlang penjaga gol kami berjaya mempertahankan jaringan 2-1 dan terus memastikan keputusan menang memihak kami malam ini,” katanya.

Justeru katanya aksi tujuh pemain baharunya yang diperkenalkan dalam aksi antarabangsa julung kali berjaya memberikan hasil yang diharapkan.

“Bukan senang untuk menguruskan dan melatih muka baharu dalam perlawanan antarabangsa sebegini.

“Tetapi mereka beraksi baik dan menimba pengalaman dalam aksi sebenar dan saya gembira dengan keputusan ini,” ujarnya.

UAE selepas ini akan bertandang ke Jakarta untuk menentang skuad Garuda Oktober ini- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast