foto: Bernama

SHAH ALAM – Sebanyak 29 buah sekolah di Klang dan Kuala Langat akan ditutup esok akibat jerebu, meningkat dari hanya lima buah sekolah hari ini.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, penutupan sekolah itu melibatkan 24 buah sekolah di Klang dan lima buah sekolah di Kuala Langat.

“Penutupan sekolah di Klang melibatkan enam buah sekolah menengah kebangsaan, 12 buah sekolah kebangsaan, dan masing-masing tiga buah sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil.

“Di Kuala Langat pula, melibatkan sebuah sekolah menengah kebangsaan dan empat buat sekolah kebangsaan, seramai 45,265 pelajar terlibat dalam penutupan sekolah di kedua-dua daerah ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sekiranya pihak sekolah mendapati bacaan IPU di kawasan mereka melebihi 200, pihak sekolah perlu mengambil tindakan selaras dengan Surat Siaran KPM bilangan 1/2019 dengan menutup sekolah serta merta sehingga keadaan kembali pulih.

“Semua sekolah terlibat diingatkan supaya merujuk kepada surat siaran berkaitan perkara berkenaan dan mengambil tindakan selaras dengan kenyataan dalam surat siaran itu,” kata kenyataan itu.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 7 petang tadi, bacaan IPU di Johan Setia adalah 189, Klang (116) dan Banting (111).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). – Bernama