KOTA BHARU – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mengekalkan skim pencen perkhidmatan awam, sebagai jaminan masa depan pekerja dalam sektor terlibat selepas bersara nanti.

Timbalan Presidennya, Zainal Ismail berkata, buat masa sekarang skim pencen yang dilaksanakan kepada semua penjawat awam yang terlibat, dilihat bersesuaian dan wajar diteruskan.

“Kita harap kerajaan dapat mengekalkan skim pencen ini, memandangkan ianya hak mutlak bagi kakitangan kerajaan, sepertimana ianya termaktub dalam perlembagaan persekutuan, dan sepatutnya tidak menjadi perkara yang berbangkit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Siri 3 Tahun 2019 peringkat negeri di Kelantan Trade Center, Kota Bharu.

Kursus selama dua hari itu melibatkan seramai 72 kakitangan kerajaan membabitkan 22 agensi di seluruh negeri ini bertujuan meningkatkan kesedaran kepentingan agensi atau jabatan mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Zainal berkata, skim pencen yang dilaksanakan selama ini diibaratkan seperti sumbangan ikhlas kerajaan bagi mengenang jasa penjawat kakitangan awam yang terlibat untuk menghabiskan waktu persaraan dalam kehidupan yang selesa.

“Sedikit sebanyak skim ini dapat membantu perbelanjaan rawatan kakitangan awam selepas bersara selain perbelanjaan persekolahan anak-anak yang belum selesai, malah dapat membantu selesaikan hutang piutang yang ada.

“Pencen yang diperolehi ini bukan digunakan untuk bermewah, sebaliknya hanya untuk kehidupan yang selesa bersama keluarga selepas bersara kelak,” katanya.

Terdahulu, akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan penjawat awam tidak tertindas susulan cadangan menghentikan skim pencen kakitangan awam.

Dengan jumlah penjawat awam yang semakin meningkat dan jumlah gaji yang lebih tinggi, kerajaan bimbang tidak mampu menampung beban bagi bayaran pencen penjawat awam.

Dalam perkembangan lain, Zainal berkata, pihaknya mencadangkan supaya pihak kerajaan bekerjasama dengan CUEPACS dan Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mencari jalan bagaimana kakitangan awam boleh dilindungi dengan Skim PERKESO.

“Ini disebabkan jika berlaku kemalangan dan kematian, kakitangan hanya diberikan pampasan Skim Ex-Gratia.

“Ex-Gratia bukan skim perlindungan, sebaliknya tabung yang diwujudkan Kementerian Kewangan dan yang menyedihkan apabila berlaku kemalangan, tindakan yang dibuat skim pampasan ini mengambil masa yang lama dan mungkin waris yang terbabit terdesak untuk mendapatkan bantuan segera,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast