Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad berbincang sesuatu dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) pada Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat Sempena Ulangtahun Ketiga Parti Bersatu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 SEPTEMBER 2019

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) sebulat suara bersetuju melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri adalah untuk membaiki dan meletakkan negara ini pada landasan yang betul.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dr. Mahathir mempunyai banyak pengalaman, selain dihormati pemimpin dunia luar, yang tentunya memudahkan beliau untuk mengurus pentadbiran negara dengan baik.

“Jadi tanggungjawab kita bersama untuk memberi kerjasama kepadanya dalam memajukan program berbentuk sosio ekonomi yang didokong bersama oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

“Kita mahu negara ini terus kukuh di bawah PH dan untuk mencapai kejayaan itu, kita harus eratkan bekerja secara berjemaah untuk menarik sokongan orang Melayu dan Bumiputera terhadap apa yang kita perjuangkan.

“Memang bukan perkara mudah, tetapi tidak mustahil untuk mencapainya,” katanya berucap pada majlis makan malam, bacaan Yaasin dan doa selamat sempena ulangtahun ketiga PPBM di Dataran Shah Alam di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan kepimpinan PPBM, DAP dan PAN.

Menurut Muhyiddin, tidak lama lagi parti itu akan mengadakan mesyuarat agung pemilihan dan beliau mahu pertandingan diadakan secara sihat dan melalui sistem demokrasi.

Katanya, mana-mana yang mendaftar sebagai ahli PPBM sejak parti itu ditubuhkan tiga tahun lalu menubuhkan cawangan masing-masing bagi memudahkan pemilihan dilakukan.

Beliau juga mengingatkan kepimpinan dan ahli agar mengelakkan perselisihan faham yang boleh menjejaskan imej parti, yang ketika ini amat disegani pihak kawan dan lawan. – MalaysiaGazette