Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 buah sekolah, termasuk sebuah sekolah menengah, ditutup di Pahang hari ini ekoran keadaan berjerebu.

Kementerian Pendidikan berkata, penutup sekolah itu melibatkan 5,505 murid di negeri itu.

“Setakat jam 10 pagi ini, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang telah menerima laporan sekolah ditutup pada hari ini.

“Penutupan itu melibatkan 16 buah sekolah iaitu 15 buah sekolah rendah dan sebuah sekolah Menengah iaitu SMK Sungai Puteri di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Rompin,” katanya dalam kenyataan.

SK Rompin yang mempunyai 637 murid antara 16 sekolah di daerah Rompin yang ditutup berikutan cuaca jerebu teruk.

Menurut kenyataan itu, sebarang perubahan atau maklumat terbaharu akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Semua sekolah berkenaan diingatkan supaya mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.- MalaysiaGazette