Mohd Faizul Arifin bersama Loh Chan Cheong, Chien Guan Chai, Yap Cheng Wah, 43, dan Mohd Faizal Tan Abdullah masing-masing didakwa atas dua pertuduhan utama mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 manakala ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56, dituduh atas tiga pertuduhan utama mengikut seksyen yang sama.

GEORGE TOWN – Seorang Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang dan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang Mohd Faizul Arifin, 34, bersama empat lelaki Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36; Yap Cheng Wah, 43, dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, masing-masing didakwa atas dua pertuduhan utama mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 manakala ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56, dituduh atas tiga pertuduhan utama mengikut seksyen yang sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dan pengakuan mereka akan direkodkan di Mahkamah Tinggi.

Mohd Faizul turut didakwa atas empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan serta lima pertuduhan mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing.

Lai, Loh dan Yap juga masing-masing dituduh atas dua pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan serta bersubahat dengan Mohd Faizul bagi tujuan pemalsuan dokumen itu manakala Chien berdepan empat pertuduhan sama.

Kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di dua mahkamah di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah dan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Bagi dua pertuduhan utama, Mohd Faizul didakwa membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara bulan Januari hingga Februari 2019.

Loh, Chien, Yang dan Mohd Faizal Tan masing-masing didakwa atas dua pertuduhan utama menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town pada tempoh yang sama.

Lai pula didakwa atas tiga pertuduhan utama menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan pasport atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town antara Januari hingga Mac 2019.

Untuk kesemua pertuduhan itu, mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Faizul mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan masing-masing atas nama Ewe Chor Beng dan Tan Xiu Xiu di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara bulan Januari hingga Mei 2019.

Lai, Loh dan Yap juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng serta bersubahat dengan Mohd Faizul bagi tujuan pemalsuan dokumen itu di tempat yang sama antara Januari hingga Februari 2019.

Chien pula mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan masing-masing atas nama Ewe Chor Beng dan Tan Xiu Xiu serta bersubahat dengan Mohd Faizul bagi tujuan pemalsuan dokumen itu di tempat yang sama antara Januari hingga Mei 2019.

Untuk kesemua pertuduhan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Mohd Faizul turut mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan kad pengenalan atas nama Tan Xiu Xiu, Lim Hock Eng, Ewe Chor Beng, Yang Xiaohong dan Pheh Jin Leong di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara 20 Sept 2018 hingga 3 Mei 2019.

Bagi kesemua pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tiada jaminan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 18 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi semua tertuduh.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang Yusaini Amer Abdul Karim dan dibantu Mohd Amril Johari, Noor Azura Zulkiflee, Farah Aimy Zainul Anwar, Yazid Mustaqim Roslan dan Shafiq Sazali.

Mohd Faizul diwakili peguam Sukhindarpal Singh, Chien dan Mohd Faizal Tan diwakili peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon, Loh dan Yap diwakili peguam Lee Kean Wooi manakala Lai diwakili peguam Dr N. Ahilan.

Semalam, polis mendedahkan penahanan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN Pulau Pinang yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Siasatan mendapati ejen sindiket akan mencari warga asing yang ingin mendapatkan kewarganegaraan Malaysia dan proses akan diuruskan oleh seorang individu di JPN Pulau Pinang selain dipercayai sindiket itu memperoleh bayaran antara RM100,000 sehingga RM600,000 daripada warga asing.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast