Siti Nurbaya Bakar. foto Agensi

JAKARTA – Indonesia menolak tuduhan masalah jerebu yang melanda Malaysia berpunca dari negara itu sebaliknya menegaskan ia turut berpunca daripada ladang yang dimiliki oleh syarikat Malaysia di republik berkenaan.

Jerebu yang mengakibatkan beratus-ratus sekolah di Sarawak terpaksa ditutup apabila bacaan kualiti udara mencapai bacaan sangat tidak sihat.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menulis surat kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk melahirkan kebimbangan itu.

Kualiti udara di beberapa bandar Indonesia yang berhampiran dengan kebakaran ladang telah merekodkan paras bahaya.

Kebakaran hutan di Indonesia berlaku hampir setiap tahun khususnya pada musim panas dan kering yang menyebabkan negara-negara jiran kurang senang dengan asap tebal hingga menimbulkan kebimbangan kepada kesihatan dan kesan pelancongan.

Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar berkata, Malaysia tidak memberi gambaran objektif berhubung isu tersebut yang turut melanda Kepulauan Indonesia dan Borneo selama lebih dari sebulan.

Siti Nurbaya berkata, walaupun asap kebakaran di Indonesia mungkin telah melintasi Malaysia tetapi kebakaran yang dikesan minggu lepas berlaku di negeri Sarawak di Borneo hingga menyumbang kepada peningkatan kualiti udara di sana.

“Saya hanya meminta mereka (rakyat Malaysia) menjadi objektif dan berurutan dalam analisis data mereka,” katanya kepada Reuters bagi menjawab kenyataan Kuala Lumpur tentang isu jerebu.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, yang membidas Siti Nurbaya berkata, data tompok panas dan arah angin daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) berpusat di Singapura, jelas membuktikan Malaysia menjadi mangsa jerebu yang datang dari negara itu.

Katanya, data terkini mengenai jumlah tompok panas oleh ASMC menunjukkan sebanyak 474 tompok panas di Kalimantan dan 387 di Sumatera berbanding hanya tujuh di Malaysia.

Siti Nurbaya berkata, beliau bukan mencari alasan tetapi tidak ada masa untuk berpolemik dan lebih rela memberi fokus ke arah memadamkan kebakaran yang membabitkan kawasan yang sangat luas.

Jakarta menggunakan 46 helikopter untuk tujuan bom air dan pembenihan awan.

Malah, Indonesia telah menghantar ribuan anggota keselamatan untuk memadamkan api. Kerajaan juga telah menutup kawasan perladangan yang dikendalikan oleh sekurang-kurangnya 30 syarikat, yang mana kebakaran telah dilihat dan mengheret kepada pertuduhan jenayah.

Sekurang-kurangnya empat syarikat minyak sawit yang tanahnya dimiliki oleh anak syarikat kumpulan Malaysia, kata NurBaya.

Beliau turut menamakan mereka sebagai Sime Indo Agro yang berpusat di Kalimantan Barat – unit Sime Darby Plantation Bhd, Sukses Karya Sawit – unit IOI Corp Bhd, Rafi Kamajaya Abadi – unit TDM Bhd dan Ladang Adei dan Industri Adei unit Kumpulan Kepong Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette