Tun Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Tiga negeri yang dikategorikan sebagai miskin di negara ini adalah Kedah, Perlis dan Kelantan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, negeri tersebut akan diberi fokus dalam dasar jangka panjang hala tuju ekonomi negara berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Beliau menjelaskan Terengganu tidak termasuk dalam kategori negeri miskin kerana memiliki sumber minyak.

“Namun royalti minyak adalah soal lain kerana ia adalah sebahagian daripada pendapatan Kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan menteri Kabinet.

Mesyuarat khas yang diadakan pada hujung minggu ini berlangsung selama tiga jam.

Kertas cadangan dasar jangka panjang hala tuju ekonomi negara berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 telah dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – MalaysiaGazette