Pemain JDT, Safawi Rasid menanduk bola keluar sambil diasak beberapa pemain PJ City pada perlawanan Piala Malaysia diantara pasukan PJ City menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor. foto AFFAN FAUZI, 13 SEPTEMBER 2019.

PETALING JAYA – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menundukkan Pasukan PJ City di halaman lawan itu sendiri dengan kemenangan 2-3 pada perlawanan saingan Piala Malaysia 2019 malam ini.

Ia sekaligus membantu JDT mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia edisi kali ini.

Dalam aksi Kumpulan B malam tadi, The Southern Tigers yang bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dikejutkan dengan gol awal tuan rumah pada minit ke-10 menerusi Bae Beom Geun.

Pemain PJ City, Bae Beomgeun meraikan jaringan gol pada perlawanan Piala Malaysia antara pasukan PJ City menentang Johor DT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2019.

Skuad pelawat kendalian pengurus Luciano Figueroa ternyata tidak menjangka gol awal daripada pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, kelebihan mereka hanya mampu bertahan selama 14 minit di atas padang.

JDT telah menyamakan kedudukannya 1-1 menerusi gol cantik hasil sepakan percuma dari Safawi Rasid pada minit ke-24 di separuh masa pertama.

Perlawanan bertambah menarik apabila kedua dua pasukan saling berbalas serangan di atas padang.

Namun pada minit ke-36, PJ City dihukum Southern Tigers dengan gol kedua hasil jaringan pemain Harimau Malaya Syafiq Ahmadmenerusi hantaran Leandro Velazquez sebelum separuh masa pertama berakhir dengan 1-2 memihak kepada JDT.

Di separuh masa kedua, JDT memulakan aksi dengan kelebihan 2-1 manakala PJ City beraksi bersungguh-sungguh untuk mencari gol penyamaan bagi mengelak kalah di laman sendiri.

Bagaimanapun seperti dijangka pemain PJ City mengatur serangan di gawang pasukan pelawat sebelum pertahanan JDT yang agak goyah membantu tuan rumah menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-57.

Gol penyamaan PJ City itu hadir menerusi Washington Brandao Dos Santos.

Southern Tigers segera bangkit daripada gol penyamaan oleh tuan rumah dengan pantas membuka gol ketiga.

Syafiq Ahmad muncul wira apabila berjaya membuka gol ketiga pasukan pada minit ke-60 sebelum kemenangan memihak kepada JDT dengan keputusan 2-3 dan mengesahkan tiga mata penuh.

Gol JDT itu memusnahkan impian anak buah K.Devan untuk mengutip tiga mata dan merampas kedudukan teratas kumpulan B untuk mengesahkan tiket ke suku akhir lebih awal.

Dengan keputusan itu, JDT kini mengungguli carta Kumpulan B dengan 13 mata selepas 5 perlawanan.

PJ City FC pula kekal ditangga kedua dengan 9 mata selepas 5 perlawanan setakat ini dan terpaksa menunggu sehingga perlawanan terakhir Kumpulan B untuk bertemu PKNS FC bagi mengesahkan kemaraan ke suku akhir.- MalaysiaGazette