Anggota peronda daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu sebelum itu sedang melakukan rondaan di Kedai Lalat sebelum terserempak dengan kenderaan dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.
JOHOR BAHRU- Seorang lelaki warga tempatan yang cuba melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun pada Isnin lalu, ditahan polis di sebuah rumah di Jalan Tombak 2, Taman Sri Tebrau, di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata, bertindak atas maklumat, lelaki berumur 35 tahun itu berjaya ditahan pada 3 petang.

Katanya, rakaman percakapan telah dibuat dan suspek mengatakan mempunyai masalah keluarga dan mengalami tekanan perasaan.

“Lelaki berkenaan mengatakan bahawa dia mengalami tekanan perasaan apabila isterinya yang merupakan warga Vietnam mahu membawa dua orang anaknya berpindah ke Vietnam kerana banyak berhutang dengan Ah Long.

“Tanpa dapat mengawal perasaan, suspek mahu membawa balik kanak-kanak itu ke rumahnya dan dijadikan sebagai anaknya,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Shahurinain berkata suspek tidak mengakui terlibat dengan mana-mana kegiatan atau sindiket melarikan kanak-kanak.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman bermula semalam sehingga 17 Sept ini untuk disiasat mengikut Sesyen 365/511 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan telah dilengkapkan dengan cadangan menuduh suspek di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan dan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya.

Terdahulu pada 9 Sept lepas, tular perkongsian catatan di laman sosial Facebook mengenai tindakan suspek yang menghampiri kanak-kanak berkenaan yang ketika itu sedang beriadah bersama ibu dan bapanya di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Suspek kemudian cuba mengambil kanak-kanak itu tetapi dihalang oleh ibu dan bapanya, bagaimanapun suspek beredar dengan menaiki sebuah kenderaan sejurus polis tiba di tempat kejadian. – MalaysiaGazette