Christine Lagarde

STRASBOURG – Parlimen Eropah menyokong pemilihan Christine Lagarde sebagai Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) yang baharu, sekali gus menyaksikan pelantikan wanita pertama memegang jawatan tersebut.

Seramai 394 orang ahli Parlimen mengundi memihak kepada Lagarde, 206 menentang dan 49 berkecuali.

“Christine Lagarde adalah pilihan yang sangat baik dan beliau mempunyai sokongan penuh saya,” kata Ludek Niedermayer, ahli parlimen kanan kanan Czech.

Lagarde yang pernah menerajui Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak hadir dalam pemilihan itu meskipun mendapat jemputan.

“Christine Lagarde berada pada kedudukan yang baik untuk menekankan kepentingan dasar (ekonomi) yang lain, bukan hanya dasar monetari,” kata Niedermayer.

Lagarde dipilih pada bulan Julai oleh pemimpin EU untuk menggantikan Mario Draghi dari 1 November lalu.

Bekas peguam itu pernah menjadi Menteri Kewangan Perancis pada tahun 2007 sebelum mengetuai IMF bagi menggantikan Dominique Strauss-Kahn yang terlibat dalam skandal seks.

Pelantikan rasmi Lagarde akan dibuat pada pertengahan Oktober bagi tempoh lapan tahun. – MalaysiaGazette