Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini memaklumkan lelaki yang didakwa memukul bekas isteri dan bapa mertuanya yang tular baru-baru ini telah meletak jawatan pada April 2019.

Lelaki tersebut yang juga seorang doktor telah berkhidmat di hospital berkenaan sejak tahun 2017.

Sehubungan itu, pihak HCTM UKM tiada kaitan dengan pekerja terbabit seperti yang dihebahkan melalui media.

Sabtu lalu, tular satu video berdurasi satu minit setengah memaparkan seorang lelaki didakwa memukul bekas isteri serta bapa mentuanya hingga mendatangkan kecederaan.

Bagaimanapun, kejadian itu dimaklumkan berlaku di Jalan Utarid, Sungai Buloh pada jam 12.15 tengah hari, pada 4 September lalu.

Lelaki itu telah ditahan tetapi dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan selepas mengemukakan surat rujukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar mengesahkan pihaknya menerima satu laporan daripada bekas isteri suspek pada 4 September lalu yang mendakwa diri serta bapanya dipukul suspek. – MalaysiaGazette