Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempertahankan dakwaannya bahawa harga telur sekarang jauh lebih mahal, walaupun jika dibanding pada tahun 2015.

Menerusi hantarannya di Facebook sebentar tadi, bekas Perdana Menteri itu mengakui memang betul harga pernah mahal pada awal tahun 2015 tetapi hanya untuk seketika sahaja iaitu selama satu setengah bulan dan turun tidak lama selepas itu.

Beliau turut melampirkan tiga data link Jabatan Veterinar untuk semakan:
2015: http://www.dvs.gov.my/index.php/pages/view/1831
2018: http://www.dvs.gov.my/index.php/pages/view/1825
2019: http://www.dvs.gov.my/index.php/pages/view/2164

Katanya, harga purata telur untuk tempoh Mei hingga Disember 2018 (selepas PRU14) adalah lebih mahal berbanding harga 2015.

Malah, harga purata telur bagi tahun 2019 setakat ini adalah lebih mahal berbanding harga 2015.

Menurutnya, harga purata telur bagi tempoh Mei hingga Disember 2018 dan harga telur bagi tahun 2019 adalah jauh lebih tinggi berbanding harga untuk tempoh Januari hingga April 2018 sebelum PRU14.

Manakala harga purata telur bagi bulan lepas (Ogos 2019) adalah antara 37% hingga 42% lebih tinggi berbanding bulan April sebelum PRU14.

“Ini bukan data Najib tapi data-data dari Jabatan Veterinar sendiri,” katanya.

Tegas beliau, menteri Kerajaan Pakatan Harapan terima realiti bahawa harga telur telah naik tinggi dan tetap tinggi sepanjang tempoh selepas PRU14.

“Dia patut terima kenyataan bahawa dia telah gagal mengawal harga telur walaupun dia pernah umum dalam satu sidang akhbar bahawa harga telur telah turun 2 sen pada akhir tahun lepas,” katanya dalam kenyataan itu.

Malah, Najib berkata, Datuk Salahuddin Ayub juga patut berhenti untuk memaksa pegawai-pegawai Jabatan Veterinar mengeluarkan kenyataan yang cuba memesongkan realiti dalam usaha mempertahankan dirinya.

Sabtu lalu, Najib berkata, meskipun pada tahun lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani memaklumkan harga telur turun 2 sen tetapi hakikatnya pada masa ini harga telur masih lagi tinggi.

Artikel berkaitan: Harga telur pun masih mahal, ada hati hendak kawal harga barang – Najib

Data terbaru harga telur di ladang yang diterbitkan oleh Jabatan Veterinar menunjukkan telur ayam gred AAA adalah 40 sen sebiji, gred C 37 sen dan gred E 32 sen.

Sedangkan, kata Najib, sebelum pilihan raya umum lalu, harga telur di ladang untuk telur gred AAA adalah serendah 27 sen, harga gred C 24 sen dan gred E 21 sen.

Hantaran Najib itu menarik perhatian Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan mengeluarkan kenyataan bahawa penggunaan maklumat serta data dalam membuat perbandingan yang tidak berasas akan mengelirukan masyarakat justeru ia harus dielakkan.

Menurut jabatan itu, harga telur di peringkat ladang bergantung kepada kos input iaitu makanan ayam, gaji pekerja, kos ubatan dan lain-lain.

Kos ini boleh dan akan berubah jika ada kejadian penyakit dan bencana lain seperti kemarau, jerebu dan banjir,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Harga telur tahun ini lebih murah berbanding 2015

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast