Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini memaklumkan yang beliau mungkin akan menjadi Perdana Menteri pada Mei tahun depan.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Port Dickson itu mengakui tidak cerewet mengenai tempoh menggantikan tugas Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

“Ada kesefahaman bahawa ianya akan berlaku sekitar waktu itu, tetapi saya fikir saya tak perlu terlampau cerewet bulan berapa,” katanya dalam satu temubual bersama Bloomberg hari ini.

Anwar mengulangi, kesefahaman yang telah dipersetujui secara konsensus adalah Mahathir akan meletakkan jawatan dan beliau akan mengambil alih selaku Perdana Menteri ke-8.

Sebelum ini, sebagai sebahagian persetujuan sebelum PRU-14, Mahathir memberikan komitmen bahawa beliau akan memegang jawatan nombor satu negara itu hanya sekitar dua tahun sebelum memberinya kepada Anwar.

Sementara itu, Anwar juga menafikan dakwaan wujud konspirasi untuk mengangkat Timbalan Presiden PKR dan Menteri Hal-Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi Perdana Menteri selain dirinya.

“Tiada tanda-tanda ada pihak yang mahu promosi atau melobi nama lain (untuk jawatan Perdana Menteri).
“Bagaimana, ini tidak akan menghalang sesetengah individu tertentu yang mempunyai cita-cita tersendiri.

“Tetapi pada saya ini tidak relevan. Sama ada ianya telah dibincang, atau telah disahkan sahih, apa pun, jawapannya tidak,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette