Seorang pengawal keselamatan menutup pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) yang ditutup hari ini kerana terjejas akibat jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200.

PUTRAJAYA – Kesemua 25 sekolah di Putrajaya ditutup hari ini susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang memasuki tahap sangat tidak sihat pagi ini.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya Farizah Ahmad berkata berdasarkan bacaan IPU yang telah mencecah 200 mulai 6 pagi ini, adalah dimaklumkan bahawa semua sekolah di Putrajaya ditutup hari ini.

Putrajaya hari ini mencatatkan trend bacaan IPU yang meningkat sejak pukul 3 pagi tadi iaitu 192 dan mencecah bacaan 202 pada 7 pagi.

Ini merupakan hari kedua sekolah-sekolah di Putrajaya ditutup berikutan jerebu yang melanda negara sejak 5 Sept lepas.

Kesemua 25 sekolah di Putrajaya ditutup semalam berikutan bacaan IPU mencapai tahap tidak sihat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.