Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar bercakap pada sidang media pada Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 18 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia menasihatkan agar pekerja-pekerja di negara ini tidak mengira sektor dan bidang agar mematuhi garis panduan mengenai jerebu.

Jelas Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar, pihak majikan turut dinasihat agar sentiasa berjaga-jaga dengan faktor keselamatan pekerja masing-masing.

“Ini merupakan perkara yang akan diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan dalam mesyuarat Kabinet pun telah diberi perhatian yang serius.

“Nasihat kementerian, pekerja dan majikan harus mengikut apa saja arahan dan garis pnduan yang telah kementerian keluarkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKP) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, majikan juga diingatkan agar mengambil pendekatan tertentu dalam penaksiran risiko kepada pekerja dalam pendedahan jerebu kepada pekerja masing-masing.

“Garis panduan yang memberikan penjelasan tindakan yang perlu diambil majikan dalam buat penaksiran risiko pendedahan pekerja kepada jerebu bergantung kepada indeks IPU terutama pekerja yang terlibat dalam pembinaan di luar,” katanya.

Mahfuz ditanya mengenai langkah kementerian dalam menangani isu jerebu apabila portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan daerah Sri Aman di Sarawak merekodkan IPU yang semakin meningkat dengan bacaan menghampiri tahap bahaya, bacaan 400, setakat jam 6 petang semalam, malah bacaan terkini kawasan itu adalah 389, melepasi 300 sejak jam 2 petang tadi.

Malah Kuching masih berada pada tahap IPU sangat tidak sihat dengan bacaan 213 diikuti Johan Setia Klang, Selangor iaitu 231.

Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994, majikan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja mereka di tempat kerja.

Adalah menjadi tanggungjawab majikan memastikan pekerjanya dalam keadaan berwaspada dengan sentiasa berpandukan Garis Panduan ‘Hazard Identification Risk Assessment and Risk Control’ yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP).

Malah majikan perlu menyediakan topeng muka serta memastikan ia diguna semasa bertugas di luar. – MalaysiaGazette