Saksi yang merupakan bekas Pegawai Khas Bekas Perdana Menteri, Amhari Efendi Nazaruddin hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-8 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu mahkamah bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih ‘berinteraksi’ dengan Low Taek Jho atau Jho Low walaupun tahu tentang penipuannya.

Dengan memberikan contoh bagaimana Jho Low menipu anak bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Taib Mahmud pada 2009, Amhari mendakwa Najib masih lagi meneruskan hubungan dengan ahli perniagaan dalam buruan itu.

Amhari yang merupakan bekas pegawai khas Najib berkata demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram sejurus selepas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selesai pemeriksaan balasnya.

Gopal: Saya hendak tahu, selepas umum mengetahui tentang penipuan yang dilakukan oleh Jho Low ke atas Mahmud Abu Bekir Taib pada 2009, adakah tertuduh (Najib) berterusan interaksi dengan Jho Low?

Amhari: Ya, betul.

Selain daripada itu, Amhari juga mendakwa, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy sendiri pernah melahirkan rasa tidak senang serta ragu-ragu dengan perwatakan Jho Low kepada Najib.

Amhari mendedahkan, ketika satu mesyuarat di rumah Najib, Arul Kanda bertanyakan kepada Najib di hadapannya adakah kata-kata Jho Low boleh dipercayai.

Arul Kanda juga bertanyakan tentang unit dana yang disimpan dalam 1MDB bagi tujuan pelaburan seperti didakwa oleh Jho Low.

Insiden yang berlaku sekitar 2016 itu bagaimanapun tidak mendapat apa-apa reaksi daripada Najib hanya sekadar mendengar sahaja.

Ketika Gopal Sri Ram bertanya adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mempergunakan dirinya supaya saksi itu bertindak menyalahkan Najib, Amhari menafikan dakwaan itu.

Sebelum itu, Shafee ada beberapa kali memberi cadangan bahawa SPRM telah memberikanya ‘peluang’ dan tidak didakwa sekiranya bertindak menyalahkan anak guamnya.

Prosiding akan bersambung dengan Amhari memberi keterangan kepada pasukan pendakwaan pada Isnin ini. – MalaysiaGazette