Saksi yang merupakan bekas Pegawai Khas bekas Perdana Menteri, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin ketika hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sudah masuk hari ke-10 prosiding menyaksikan pemeriksaan balas antara saksi ke-8 dengan peguam bela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi ini.

Najib menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berhubung wang yang sama ketika masih menjawat jawatan Perdana Menteri.

Saksi ke-8, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin merupakan bekas pegawai Najib sudah memberikan keterangan sejak 7 hari lepas dan dipercayai akan berkahir hari ini.

Ketika membacakan penyataan saksi sebelum ini, terdapat banyak percanggahan jawapan oleh Amhari setelah disoal balas oleh ketua pasukan peguam bela iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Malah, timbul pula banyak persoalan khasnya dakwaan-dakwaan dibuat oleh bekas pegawai itu.

Semalam Amhari mendedahkan walaupun mendapat elaun khas ketika mengikut Perdana Menteri menyertai lawatan-lawatan rasmi ke luar negara, namun ahli perniagaan dalam buruan ketika ini, Low Taek Jho atau Jho Low juga memberikannya ‘duit poket’ dalam nilai beribu-ribu dolar Amerika.

Tetapi Amhari juga seolah-olah ‘terlupa’ untuk memberitahu kepada mahkamah dalam penyataan saksinya sehingga disoal sendiri oleh Shafee dua minggu lepas bagaimana Jho Low pernah memberikan wang sebanyak AS$200,000 (RM808,000) kepadanya sebagai pinjaman untuk membeli sebuah rumah bernilai RM1.8 juta pada 2005.

Wang ‘pinjaman’ itu juga tidak pernah dipulangkan kembali oleh Amhari kepada Jho Low walaupun mendakwa telah beberapa kali cuba memulangkan balik namun tidak berjaya.

Semalam, Amharisemalam mendedahkan dirinya tidak bertanggungjawab dalam menyediakan laporan berhubung lawatannya ke China pada bulan Jun 2016 untuk Najib sebaliknya disediakan oleh Jho Low sendiri.

Najib Razak

Selain itu, Amhari juga membuat pendedahan peranan Jho Low dalam urusan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) .

Jho Low sebelum ini mendakwa dirinya adalah penasihat kepada Yang diPertuan Agong merangkap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika itu.

Bagaimanapun ketika diasak mengapakah Amhari tidak memberitahu Najib mahupun arwah Datuk Azlin Alias atau Datuk Seri Aziz yang merupakan pegawai atasannya, kata bekas pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) itu dirinya terpaksa diam kerana hanya berpangkat kecil serta tidak mempunyai kuasa.

Untuk seketika Amhari juga terkebil-kebil seolah-olah hilang punca dengan asakan Shafee yang seakan-akan tidak faham dengan ‘logik’ serta keperluan Amhari mahu ‘berahsia’ tentang Jho Low walaupun sudah mula mensyaki ahli perniagaan itu cuba menipu tentang peranannya.

Amhari juga tidak bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa dirinya sengaja mendiamkan diri kerana ‘banyak terhutang budi’ dan mendapat manfaat daripada hubungannya dengan Jho Low sehingga tidak melaporkan banyak perkara kepada Najib mahupun arwah Azlin.

Perbicaraan di jangka bersambung sekitar jam 9.30 pagi ini di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. –MalaysiaGazette