Gambar hiasan

BAGI yang masih tidak tahu, baru-baru ini polis berjaya membongkar satu sindiket penjualan dokumen kad pengenalan diri (MyKad) kepada warga asing menggunakan butiran peribadi individu yang sudah meninggal dunia.

Kegiatan ini dipercayai juga didalangi oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sendiri.

Jika kita lihat sekarang isu ini bukan lagi isu kecil ia sudah menjadi isu besar yang mencemarkan kedaulatan negara. Apa yang kita boleh lihat hari ini seolah-olah maruah negara begitu mudah untuk dijual beli dan undang-undang yang ada tidak
digeruni langsung.

Jadi apa yang penting buat masa ini, penguatkuasaan undang-undang perlu diperketat lagi. Bagi mereka yang terlibat dengan sindiket penjualan MyKad ini pula, hukuman yang setimpal harus dikenakan sebagai pengajaran.

Sehingga ke hari ini juga kita tidak tahu sudah berapa ramai yang telah memiliki MyKad palsu di negara ini. Apabila isu ini timbul sudah tertentu ia akan memberi impak kepada pembangunan negara.

Salah satunya ia akan memberi kesan kepada pemilihan kerajaan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Lebih membimbangkan adalah tidak mustahil dalam pilihan raya akan datang, individu yang memiliki MyKad sah tidak boleh mengundi dek kerana tangan ‘ghaib’ terlebih dahulu melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Jadi insiden seperti ini mungkin berlaku sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak JPN tidak mengambil langkah yang drastik. Pentingnya pihak SPR memperkemaskan data-data pengundi dari semasa ke semasa agar dapat mengelakkan daripada sebarang kesulitan di masa akan datang.

Namun persoalannya, apakah jaminan yang boleh diberikan oleh SPR bahawa pemilik MyKad palsu ini tidak tersenarai sebagai
pengundi dalam pilihan raya akan datang?

Sebagai rakyat yang layak mengundi kami menuntut penjelasan ini agar kami tidak terus dibimbangi dengan permasalahan ini.

Dhia Hani, Persatuan Pemikir Muda Johor.