Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad faham atau tidak tentang kewujudan Muafakat Nasional, ia sudah tidak penting bagi UMNO dan Pas, walaupun sebenarnya mudah sahaja untuk Perdana Menteri memahaminya.

Setiausaha Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mendakwa Dr Mahathir saja buat-buat tidak faham untuk menyedapkan hatinya yang gundah gulana ekoran wujudnya Muafakat Nasional.

“Apapun pada saya, tiada keperluan pun untuk Tun memahami Muafakat Nasional.

“Tun faham atau tidak, ia tidak mustahak bagi kami. Apa yang penting, pimpinan dan ahli UMNO Pas memahami serta menyokongnya. Malah rakyat jelas menyokong Muafakat Nasional. Ini lebih penting, ” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebaliknya, beliau berkata, parti itu sebenarnya lagi pelik dengan sikap Dr Mahathir kerana apa yang beliau tidak kata pada DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu tetapi kini berpelukan.

“Lebih elok Tun jaga Kerajaan PH yang tidak ketahuan haluannya sekarang. ringgit susut kepada RM4.18 berbanding US Dollar dan bursa saham jatuh sehingga 1,600.94 mata ketika ini. Pelabur lari dan rakyat semakin tertekan.

“Kami hairan Bon Samurai diambil, aset dijual dan yang terbaru Khazanah dilaporkan berada didalam fasa akhir penjualan pegangannya dalam Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang di London iaitu Vinci & Gatwick Airports, tapi hutang negara kian meningkat. Ekonomi merudum juga?.” katanya di sini.

Meskipun Dr Mahathir beri alasan jual aset kerana hendak bayar hutang tapi adakah hutang negara semakin kurang, soal beliau. – MalaysiaGazette

Saya bingung bagaimana UMNO dikafirkan Pas boleh bekerjasama, kata PM