LONDON – Pemain pertahanan Manchester United, Victor Lindelof menandatangani kontrak baharu yang mengikatnya sehingga 2024 dengan pilihan sambungan setahun.

Pemain antarabangsa Sweden itu telah merekodkan 74 penampilan dalam semua pertandingan sejak menyertai kelab England itu dari Benfica dengan nilai perpindahan £31 juta pada Jun 2017.

“Sejak tiba di sini, saya seperti berada di rumah sendiri. Dua tahun di sini, saya dapat merasakan perkembangan saya sebagai pemain,” katanya.

Sejak awal musim ini, Lindelof menjadi pemain tetap dalam semua perlawanan The Red Devils.

Dia membentuk gandingan mantap di barisan pertahanan bersama pemain sensasi baharu bernilai £80 juta, Harry Maguire.

Persetujuan pemain berusia 25 tahun itu menurunkan tandatangannya menjadikan dia pemain kedua selepas David De Gea yang turut melanjutkan kontrak baru pada Isnin lalu.

“Saya tahu semua orang di kelab ini berkongsi matlamat sama dan sanggup berikan apa sahaja untuk memastikan kegemilangan Manchester United kembali,” kata Lindelof. – MalaysiaGazette