Zaharudin Najib
Zaharudin Muhammad

SUNGAI BULOH – Pas Kawasan Sungai Sungai Buloh membidas tuduhan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bahawa pihaknya menangguk di air yang keruh dalam isu perobohan rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir.

Yang Dipertuanya, Zaharudin Muhammad menegaskan, kerajaan Selangor sendiri berbuat demikian apabila perobohan yang ditangguhkan sehingga November ini dipercepatkan tanpa dimaklumkan kepada penduduk terbabit.

“Sebenarnya kita tidak menangguk di air yang keruh tetapi kita melihat bahawa apabila pihak kerajaan tidak dapat membantu secara cepat, tepat dan tangkas.

“Saya cukup gembira bila mana saya melihat YB Sivarasa Rasiah (Ahli Parlimen Sungai Buloh) sudah membuat kenyataan untuk menangguhkan perobohan sehingga November 2019.

“Kita rasa bersyukur kerana kerajaan menangguhkan tersebut, tiba-tiba sehari sebelum perobohan, saya dimaklumkan secara tidak rasmi dan informasi bahawa berlaku perobohan esok hari,” katanya pada sidang media di penempatan sementara penduduk berhampiran Sungai Kedondong hari ini.

Pada Rabu lalu, lebih 30 buah rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor dirobohkan bagi meneruskan projek meluaskan sungai di tepi kawasan perumahan.

Projek meluaskan sungai tersebut sudah lama dijalankan namun terpaksa ditangguh beberapa kali susulan rayuan penduduk kampung.

Zaharudin juga membidas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd. Khairudin Othman yang melabel penduduk terbabit sebagai degil sedangkan beliau sendiri sebelum ini telah memberi harapan menyelesaikan perkara itu.

“Saya menganggap tuduhan kepada pihak penduduk sebagai keras kepala itu sebagai tidak berasas disebabkan saya melihat surat daripada YB Khairuddin sendiri yang membantah perpindahan penduduk pada tahun 2016.

“Saya tak nampak kedegilan itu hanya boleh disalahkan kepada pihak penduduk tetapi ianya juga mesti dipertanggungjawabkan kepada YB Khairuddin sendiri.

“Ini kerana beliau sendiri memberikan harapan yang sangat besar kepada penduduk sehingga mereka yakin mereka tak perlu berpindah dan akan mendapat penempatan,” katanya.

Zaharuddin turut menyifatkan tindakan perobohan itu sebagai tidak berperikemanusiaan susulan ia dilakukan ketika negara dilanda jerebu terus hingga memaksa ribuan sekolah ditutup.

“Agak mustahil bila operasi merobohkan rumah pada cuaca sebegitu dan dalam keadaan mereka tidak bersedia ditambah pula minggu depan anak-anak akan menghadapi peperiksaan PSRA, menjadikan operasi itu tidak berperikemanusiaan,” tegasnya.

Zaharuddin turut mencabar kerajaan negeri untuk turun padang menyantuni penduduk terlibat dengan menghulurkan bantuan yang sepatutnya diterima.

“Kalau kami menangguk di air yang keruh, saya menjemput pihak kerajaan dan saya yakin penduduk mengalu-alukan untuk mereka menghulurkan bantuan sebagaimana kami hari ini memasang khemah dan menyediakan makanan.

“Penduduk tidak menuntut untuk kekal di sini, ataupun dapatkan hak tanah di sini, Pas juga tidak menggesa untuk terus berada di sini, isunya kerajaan perlu buat sesuatu khususnya pemindahan mereka ke penempatan lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette