Syarikat Air Melaka

MELAKA – Hanya pengeluaran air mentah dan terawat di dua daripada sembilan loji air di negeri ini terjejas iaitu Loji Air Bertam dan Loji Air Bukit Sebukor di sini kerana paras air rendah, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata, keupayaan pengeluaran air di Loji Air Bertam terjejas 21 peratus dengan masa kini hanya mempunyai kapasiti pengeluaran 188,415 meter padu air mentah dan 143,901 meter padu air terawat sehari.

Keupayaan pengeluaran air di Loji Air Bukit Sebukor pula terjejas 50 peratus dengan masa kini hanya mempunyai kapasiti pengeluaran 44,965 meter padu air mentah dan 34,217 meter padu air terawat sehari.

“Dalam keadaan panas dan kering serta taburan hujan yang rendah di Melaka, paras air sungai juga telah turun menyebabkan beberapa buah loji rawatan air terpaksa mengurangkan bekalan air terawat,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kapasiti pengeluaran air di tujuh lagi loji air adalah tidak terjejas dan pihak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sedang giat menstabilkan semula pengeluaran di loji air yang terjejas.

Semalam Adly dilaporkan berkata Empangan Jus di Jasin yang mempunyai kapasiti 45,000 juta liter air mempunyai kapasiti semasa 19,165 juta liter hari ini, Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah (32,600 juta liter/6,470 juta liter) dan Empangan Asahan di Jasin (700 juta liter/215 juta liter).

Paras air di ketiga-tiga empangan di negeri ini juga menunjukkan trend menurun berikutan kadar hujan yang rendah di kawasan tadahan dan jumlah air di Empangan Durian Tunggal menurun sejak awal Ogos lepas.

Beliau berkata, pada masa ini Kerajaan Negeri Melaka telah memperoleh kelulusan daripada Kerajaan Negeri Johor untuk mengepam air sebanyak 220 juta liter sehari dari Sungai Muar ke Empangan Durian Tunggal bagi menampung keperluan air di negeri ini.

“Antara langkah lain yang diambil ialah pengepaman air dari Empangan Jus ke Empangan Durian Tunggal serta pengepaman air dari kolam alternatif ke Sungai Melaka,” katanya.

— BERNAMA