Siti Kasim

KUALA LUMPUR – Jika mahu tutup sekolah pelbagai aliran, tutup dahulu sekolah kebangsaan (SK), kata Siti Kasim mengulas gesaan sesetengah pihak yang mahu menutup sekolah vernakular.

Peguam dan aktivis itu berkata, hakikatnya, sekolah vernakular adalah lebih pelbagai berbanding SK yang mempunyai 99 peratus murid Melayu.

“Sekarang, orang Melayu pun tidak mahu menghantar anak mereka ke SK. Hakikatnya, pelajar di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina adalah lebih pelbagai berbanding SK yang mempunyai 99 peratus murid Melayu,” katanya dalam wawancara dengan China Press.

Siti berkata, sesetengah guru agama juga didapati  “bermasalah”, sambil memetik pengalaman seorang kawannya yang ditegur dan dipermalukan cikgu kerana anak perempuannya tidak memakai tudung.

“Apa haknya untuk mengkritik orang, kualiti cikgu seperti ini sangat teruk,” katanya.

Siti yang mengasaskan Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (Maju) berkata, sesetengah cikgu percaya mereka akan mendapat ganjaran ke syurga jika berjaya membawa seseorang untuk masuk Islam.

“Cikgu seperti ini bagaimanapun lupa bahawa tugas mereka bukanlah mengubah agama orang lain, tetapi menyalurkan ilmu kepada pelajar,” katanya.

Beliau juga mempertikaikan kandungan buku teks Sejarah tingkatan empat yang 70 peratusnya adalah mengenai tamadun Islam.

“Masalah tidak terhad kepada subjek Sejarah, tetapi juga Geografi dan mata pelajaran lain, banyak subjek agama telah dimasukkan ke dalam sistem pendidikan,” katanya.

Siti berkata, sekolah tidak harus bertumpu kepada agama, kerana ia akan menyebabkan pelajar tidak boleh berfikir secara berdikari.

Apabila diminta menilai prestasi kerajaan Pakatan Harapan, Siti Kasim berkata, pakatan politik itu hanya layak mendapat satu markah pada skala 10 kerana rakyat sangat kecewa dengan kerajaan.

“Mereka dapat satu markah kerana rakyat kini lebih mudah untuk berjumpa dengan menteri dan kerajaan.

“Tetapi adalah tiada gunanya jika hanya berjumpa dan mendengar suara rakyat kalau kerajaan tidak lakukan apa-apa tindakan susulan,” katanya. – MalaysiaGazette