KUALA LUMPUR – Kerajaan menanggung hutang yang banyak peninggalan dari kerajaan terdahulu, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sambil menyalahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana meninggalkan hutang lebih RM1 trilion, maka kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) kini terpaksa menjual beberapa aset Khazanah.

Katanya, duit daripada penjualan aset itu akan digunakan untuk membayar balik hutang terdahulu yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mahathir berkata, beliau percaya duit itu dicuri, bukan tidak dapat dikesan sebagaimana dinyatakan oleh banyak pihak.

“Kerajaan sebelum ini meminjam banyak (sampai RM1 trilion), duit itu bukan dilabur, tapi disembunyi. Sekarang, bila kita ambil alih, kita kena bayar hutang itu. Di mana kita nak dapat duit? Kita kena jual beberapa aset dalam Khazanah untuk bayar balik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengasas Yayasan Al-Bukhari, Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary dan Pengerusi Yayasan Budi, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Jelas Mahathir, beliau sehingga kini tidak tahu di mana kerajaan terdahulu simpan wang berkenaan.

Katanya, jika wang itu dilabur, kerajaan sekarang dapat mengesan dan mengambil wang itu untuk membayar balik hutang. – MalaysiaGazette