Gianni Infantino menyatakam harapannya supaya Iran menarik balik larangan wanita negara itu turun ke stadium bola sepak yang terguna pakai sejak 40 tahun lalu

TEHRAN – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menasihati Iran supaya membenarkan kaum wanita ke stadium menyaksikan perlawanan bola sepak.

Presidennya, Gianni Infantino berkata, Iran tidak sepatutnya meneruskan larangan wanita ke stadium yang dikuatkuasakan selama 40 tahun lalu.

Wanita di Iran dilarang daripada memasuki stadium untuk perlawanan bola sepak pasukan lelaki sejak selepas Revolusi Islam berlaku di negara itu pada tahun 1979.

Namun Infantino menyatakan keyakinan suasana itu akan berubah menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Iran dan Kemboja Oktober ini.

“Pendirian kami tegas dan jelas bahawa kaum hawa di Iran seharusnya dibenarkan mengakses ke stadium bola sepak di negara itu.

“Zaman sudah berubah dan FIFA tidak mahu melihat lagi wanita ditekan menggunakan larangan kuno ke stadium. Beri hak untuk mereka bebas bergerak dan tunjukkan semangat dalam sukan.

“Kini adalah masa untuk mengubah segala-galanya dan FIFA mengharapkan perkembangan positif bermula menjelang perlawanan kelayakan piala dunia di Iran Oktober nanti,” katanya.

Sebelum itu, peminat bola sepak wanita Iran, Sahar Khodayari meninggal dunia dengan membakar diri sementara menantikan perbicaraan kes kerana dituduh cuba memasuki stadiumĀ  menonton perlawanan bola sepak.

Wanita yang bergelar Blue Girl itu ditahan polis Mac lalu kerana didakwa cuba memasuki stadium semasa perlawanan bola sepak berlangsung dengan menyamar dir sebagai lelaki.

Sekumpulan wanita dibenarkan menghadiri aksi kedua final Liga Juara Juara Asian di Tehran November tahun lalu.

Namun pada Jun lalu wanita telah disekat daripada menonton aksi persahabatan Iran dan Syria di Stadium Azadi.- MalaysiaGazette